Sunday, February 23, 2025

Pemakluman Permohonan Kemasukan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

 



🔖PEMAKLUMAN
PERMOHONAN KEMASUKAN PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa 
✅Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
✅Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
✅Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
✅Lepasan Program Matrikulasi 

yang berkelayakan, berpotensi dan berminat untuk mengikuti PISPM di Institut Pendidikan Guru, KPM bagi ambilan tahun 2025.

📌Sila rujuk aktiviti dan tarikh penting dari masa ke semasa.

📌Permohonan akan dibuka pada
24 Februari 2025 sehingga 16 Mac 2025 (11.59 malam)

Friday, February 21, 2025

Tahlil Perdana Anjuran 5PMC Selangor Secara Atas Talian








Tarikh: 21 Feb 2025 (Jumaat) / 22 Syaaban 1446.
Masa: 9.30 pagi.
Tempat: Bilik Mesyuarat 5PM, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Seksyen 4, Shah Alam dan di lokasi masing-masing secara Google Meet.
Dipimpin oleh: Tuan Haji Mohamed Ghazali bin Hamzah (Ketua Biro Agama 5PMC Selangor merangkap Naib Yang DiPertua I, 5PMC Selangor).

Aktiviti yang dijalankan:
1. Aluan Yang DiPertua: Tuan Haji Muhammed Adzhar bin Haji Alias telah memulakan majlis dengan ucapan salam dan alu-aluan yang penuh dengan kemesraan.

2. Bacaan Yasin: Bacaan Yasin telah dimulakan pada jam 9.45 pagi, dipimpin oleh Tuan Haji Mohamed Ghazali Hamzah dengan bacaan yang penuh khusyuk.

3. Bacaan Tahlil: Bacaan tahlil diteruskan selepas bacaan Yasin dan diikuti oleh semua peserta, baik yang hadir secara fizikal mahupun yang menyertai secara atas talian.

4. Ceramah/Tausiah: Ceramah bertajuk "Keluasan Ampunan Allah SWT Yang Maha Luas lagi Maha Penerima Taubat" telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohamed Ghazali Hamzah. Ceramah ini menceritakan dua kisah yang sangat menyentuh hati dan penuh pengajaran:
   
   - Kisah Pertama: Seorang pembongkar kuburan yang terlibat dalam perbuatan yang sangat terkutuk. Dalam keputusasaannya, dia menyedari betapa besar dosa yang telah dilakukannya dan dengan penyesalan yang mendalam, dia memohon ampun kepada Allah SWT. Berkat rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengampun, akhirnya dia mendapat keampunan.
   
   - Kisah Kedua: Seorang pendosa yang memohon ampun kepada Allah SWT setiap malam. Meskipun para Malaikat cuba menutup permohonannya dengan sayap-sayap mereka supaya permohonannya tidak sampai ke hadrat Allah SWT kerana dosa-dosanya yang banyak, Allah SWT dengan kebesaran-Nya tetap menerima taubatnya dan mengampunkannya. Kisah ini mengingatkan kita bahawa Allah SWT adalah Maha Penerima Taubat dan Maha Pengampun, selagi hamba-Nya ikhlas bertaubat dan memohon keampunan.
   
   - Penutup Ceramah: Ceramah ini juga ditutup dengan kisah Nabi Ayub yang menderita sakit namun telah disembuhkan atas kehendak Allah SWT sehingga isteri baginda sendiri hampir tidak mengenalinya. Kisah ini menggambarkan ketabahan dan kesabaran Nabi Ayub serta rahmat Allah SWT yang begitu besar. 

   Ceramah ini memberikan pencerahan tentang betapa luasnya rahmat dan keampunan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang benar-benar bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.

   Ceramah ditutup dengan bacaan Surah Al-Fajr, ayat 27 hingga 30, yang berbunyi:

   يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةًۭ مَّرْضِيَّةًۭ فَٱدْخُلِى فِى عِبَـٰدِى وَٱدْخُلِى جَنَّتِى

   "Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku."

Jumlah Penyertaan:
- Secara fizikal: Seramai 20 peserta hadir di Bilik Mesyuarat 5PM.
- Secara atas talian: Seramai 130 peserta turut serta melalui Google Meet (secara masuk keluar).

Maklumat Tambahan:
- Penyertaan yang tinggi dan komitmen para peserta sepanjang program menunjukkan keberhasilan acara ini.
- Maklum balas positif diterima daripada para peserta mengenai kelancaran dan kandungan program.
- Usaha untuk mengadakan majlis secara atas talian ini amat dihargai kerana memberikan peluang kepada lebih ramai ahli untuk turut serta tanpa mengira lokasi.

Wednesday, February 19, 2025

Mesyuarat/Taklimat dan Perbincangan Berkaitan Pelarasan Pencen Pesara Kerajaan












Imbas kembali: Pn Aminah Ahmad (tiga dari kanan) bersama barisan peguamnya di Mahkamah Tinggi pada 16 Januari 2025 yang lalu.


YDP bergambar bersama Puan Aminah binti Ahmad


YDP bergambar bersama Datuk Noor Azian Binti Shaari

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - 

MESYUARAT/TAKLIMAT DAN PERBINCANGAN BERKAITAN PELARASAN PENCEN PESARA KERAJAAN

Anjuran: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia

Tarikh: 19 Februari 2025 (Rabu)
Masa: 2.30 petang – 5.00 petang.
Tempat: Ibu Pejabat PPPPPM, Seksyen 4, Shah Alam
 
KEHADIRAN:
1. Datuk Haji Jemale bin Paiman - Presiden, PPPPPM. 
2. Datuk Noor Azian Binti Shaari - mewakili plaintif. 
3. Puan Aminah binti Ahmad - plaintif. 
4. Kapten (Bersara) Rafique Ali bin Ahmad Nordin - penyokong plaintif. 
5. Dato' Prof. Dr. Mohd Jamil bin Maah - penyokong plaintif. 
6. Puan Nancy - penyokong plaintif. 
7. Haji Hasan bin Busu - PPKM Cawangan Gombak, Selangor 
8. Haji Mohamed Salleh Teh - PPKM Pusat, Selangor. 
9. Dato’ Haji Nik Mohd. Kamil bin Nik Daud - PPKM, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. 
10. Sr. Haji Mohd. Amin bin Mohd. Din - PPKM, Selangor. 
11. Datin Hajah Noorul-Aini binti Ambak - Naib Presiden III, PPPPPM. 
12. Haji Kamaruzzaman bin Yahya - Penolong S/U Agung II, PPPPPM. 
13. Hajah Jamilah binti Suradi - Penolong S/U Agung III, PPPPPM 
14. Haji Muhammed Adzhar bin Haji Alias - YDP PPPPPM CN Selangor. 
15. Haji Ishak bin Itam - Juruaudit I, PPPPPM. 
16. Haji Ghumiat bin Kamdi - S/U PPPPPM DC Petaling. 
17. Haji Abd. Latiff bin A. Aziz - Pengerusi PPPPPM DC Kuala Langat.

Catatan Taklimat dan Perbincangan

AGENDA 1: Ucapan Datuk Presiden
(YBhg. Datuk Haji Jemale bin Paiman)

1.1 Datuk Presiden memulakan majlis dengan bacaan Umul Kitab serta menyantuni ahli mesyuarat.  
1.2 Memaklumkan tujuan taklimat adalah untuk membincangkan isu pelarasan pencen pesara kerajaan. 
1.3 Antara isu dalam perkara ini adalah penyelarasan pencen yang adil, implikasi kewangan terhadap pesara kerajaan dan kepentingan pelarasan pencen yang adil untuk memastikan kebajikan pesara.

AGENDA 2: Pengenalan Ringkas Ahli Mesyuarat

1. Datuk Noor Azian Binti Shaari
   - Mantan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, mengendalikan kes-kes Komersial, Sivil, dan Jenayah sehingga persaraan pada Julai 2014. Menjadi peneraju Kumpulan Bertindak dalam kes saman terhadap kerajaan Malaysia mengenai penyelarasan pencen pesara.
 
2. Puan Aminah binti Ahmad
   - Pesara penjawat awam di Kementerian Luar, memainkan peranan penting dalam kes saman terhadap kerajaan Malaysia mengenai penyelarasan pencen pesara. Memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Januari 2017, mewakili dirinya dan 56 pesara perkhidmatan awam lain, untuk memaksa kerajaan menyegerakan pelarasan pencen mengikut formula dalam Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebelum pindaan dibuat pada 2013.

3. Kapten (Bersara) Rafique Ali bin Ahmad Nordin 
   - Memainkan peranan penting dalam kes saman pesara ke atas kerajaan mengenai penyelarasan pencen pesara. Terlibat dalam mengumpul bukti, menyediakan hujah-hujah, dan bekerjasama dengan peguam serta pihak berkepentingan lain untuk memperkuat kes pesara.
 
4. Dato' Prof. Dr. Mohd Jamil bin Maah 
   - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM). Kini, Profesor Kehormat Kimia di Jabatan Kimia, Universiti Malaya, dan Pengarah Pusat Pengajian Asasi Sains di UM. Terlibat dalam kes saman terhadap kerajaan Malaysia mengenai penyelarasan pencen pesara.

5. Puan Nancy 
   - Orang awam yang menyokong usaha pesara untuk mendapatkan pencen yang adil dan mencukupi. Membantu menguruskan kutipan sumbangan dari orang awam untuk membiayai peguam.

6. Tuan Haji Hasan bin Busu, Tuan Haji Mohamed Salleh Teh dan Sr. Haji Mohd. Amin bin Mohd. Din
   - Mewakili Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Selangor.

7. Dato’ Haji Nik Mohd. Kamil bin Nik Daud 
   - Setiausaha merangkap Pemangku YDP, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

8. Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia 
   - Diwakili oleh 7 orang terdiri dari Presiden, wakil Kebangsaan, wakil Negeri dan Daerah. 

AGENDA 3: Ringkasan Perjalanan Mahkamah

3.1 Formula asal pencen dalam Akta Pencen 1980:  
   - 1/600 x Jumlah Bulan Berkhidmat x Gaji Akhir diterima

3.2 Formula penyelarasan pembayaran pencen dalam Akta Penyelarasan Pencen 1980:  
   - 1/600 x Jumlah Bulan Berkhidmat x Gaji Bersamaan Akhir diterima

Akta ini menetapkan pesara menerima pencen yang disesuaikan mengikut perubahan keadaan ekonomi dan kadar gaji semasa.

3.3 Pada tahun 2013, akta ini dipinda dengan memperkenalkan kenaikan tahunan pada kadar rata (flat rate) dua peratus. Pindaan ini dilakukan melalui Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa mulai Januari 2013.

3.4 Usaha kerajaan memberi kenaikan purata 2% setiap tahun dengan alasan kenaikan harga barangan juga pada kadar 2% sebenarnya membina jurang yang lebih besar antara pesara bergaji rendah dengan pesara bergaji tinggi.

3.5 Pada Januari 2017, Puan Aminah Ahmad mencabar kerajaan berdasarkan formula-formula tersebut. Beliau dan 56 pesara perkhidmatan awam yang lain melawan kerajaan kerana merasakan hak mereka telah dicabuli. Mereka berhujah pindaan itu melanggar Akta 147 Perlembagaan Malaysia.

3.6 Dalam pusingan pertama semakan kehakiman, Puan Aminah Ahmad kalah di Mahkamah Tinggi, tetapi kemudiannya telah menang di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

3.7 Mahkamah memutuskan pindaan 2013 yang kurang menguntungkan pesara tidak sah kerana melanggar hak perlindungan pencen di bawah Perlembagaan. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 mengisytiharkan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 sebagai terbatal dan tidak sah.

3.8 Puan Aminah Ahmad memperoleh kemenangan dalam pusingan kedua apabila Mahkamah Tinggi pada 16 Januari 2025 lalu membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 yang berkuat kuasa mulai Januari 2022.
 
3.9 Hakim Datuk Amarjeet Singh mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan untuk membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan bermula dari tarikh 16 Januari. Pengumuman ini membela nasib 531,976 bekas kakitangan perkhidmatan awam.

3.10 Bagaimanapun, kerajaan pada 10 Februari 2025 memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi sehingga rayuan mereka di Mahkamah Rayuan diputuskan.

3.11 Alasan kerajaan didapati lemah:
   - RM1.7 bilion tunggakan adalah jumlah besar, namun kewangan KWAP jauh lebih besar. 
   - Pengiraan tunggakan penyelarasan pencen adalah proses panjang dan rumit, namun dengan teknologi komputer, perkara ini mudah dilaksanakan.

3.12 Perjuangan Pn. Aminah Ahmad memerlukan kewangan yang banyak untuk membiayai fi peguam; selain itu, sokongan orang awam, terutama pesara, juga diperlukan bagi memastikan moral mereka kekal tinggi.

3.13 Pengerusi Majlis, Datuk Jemale bin Paiman mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang memperjuangkan hak pesara ini.

3.14 Perbincangan di kalangan persatuan pesara untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi.
 
AGENDA 4: Penubuhan Badan Bertindak Penyelarasan Pencen Kerajaan (BBPPK)

Draf Resolusi Taklimat dan Perbincangan
Ahli Mesyuarat/Taklimat pada Rabu, 19 Februari 2025, 2:30 petang di Pejabat Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Shah Alam, Selangor bersetuju untuk:

1. Mengadakan Badan Bertindak Pelarasan Pencen Kerajaan (BBPPK) yang menyatupadukan dan bekerjasama dengan persatuan-persatuan pesara serta pesara-pesara berpencen kerajaan. 

2. Badan ini akan bergerak secara sukarela dan mematuhi undang-undang negara sedia ada.

3. Badan ini mendesak Kerajaan menyelesaikan tuntutan pesara dalam tempoh tiga bulan sebagaimana keputusan mahkamah. 

4. Mengadakan perjumpaan dengan YAB Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

5. Mengadakan Perjumpaan Aman dengan 10,000 peserta pada 19 April 2025 di Kuala Lumpur tanpa menggunakan perkataan "demonstrasi" seperti tindakan ganas atau kasar.

6. Sekretariat Badan Bertindak ialah Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) dan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM).

Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 5.00 petang.

Dicatat oleh:

Hj. Kamaruzzaman bin Yahya (Penolong S/Usaha II) 
Hjh. Jamilah bt. Suradi (Penolong S/Usaha III) 

Disemak dan disusun semula oleh: 

Datuk Haji Jemale bin Paiman, 
Presiden, Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.


9. Rujukan


2. Pembatalan Penyelarasan Pencen 2% Kepada Pesara 2023 - https://ecentral.my/penyelarasan-pencen-pesara-pkkp/

3. Pesara awam dapat kebenaran mula prosiding semakan kehakiman bagi perintah pelarasan pencen - https://www.buletintv3.my/mahkamah/pesara-awam-dapat-kebenaran-mula-prosiding-semakan-kehakiman-bagi-perintah-pelarasan-pencen/



6. Aminah bikin kerajaan 'pening'

7. Malaysian Retiree Wins Lawsuit, Govt Faces RM1.7 Billion Payout To 531,976 Pensioners
https://says.com/my/news/malaysian-retiree-wins-lawsuit-govt-rm1-7-billion-payout-531-976-pensioners/

 8. Bid to suspend pension revisions pending appeal adjourned to March
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2025/02/24/bid-to-suspend-pension-revisions-pending-appeal-adjourned-to-march/

 9. Bayaran Tunggakan Pencen RM1.7 Bilion Kiraan Kasar, Bukan Ancaman - KPPA
https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2395836


Tuesday, February 18, 2025

Menyusun Langkah untuk Majlis Mesra Raya: Perjumpaan Bersama Setiausaha Politik Menteri Kesihatan

 



Pada 18 Februari 2025 (Selasa) jam 3:30 petang, Yang DiPertua Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Selangor, Haji Muhammed Adzhar bin Haji Alias, telah mengadakan perjumpaan di Pejabat Khidmat Rakyat YB Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor. Beliau bertemu dengan Tuan Haji Mohammad Faisal bin Ismail, Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, bagi membincangkan beberapa perkara penting.

Antara tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk menetapkan tarikh bagi Majlis Jamuan Mesra Raya yang akan dianjurkan oleh persatuan dan untuk memohon peruntukan kewangan bagi memastikan kelancaran program-program yang dirancang. Alhamdulillah, perjumpaan ini berjalan dengan lancar dan peruntukan telah diluluskan. Kini, kita hanya menunggu tarikh yang sesuai bagi YB Menteri Kesihatan untuk hadir merasmikan majlis tersebut.

Turut hadir dalam perjumpaan ini adalah:
- Haji Zulkefle bin Kamaruddin, Pegawai Khas YB Ahli Parlimen Kuala Selangor
- Hj Mohammed Ghazali bin Hamzah, Naib Yang DiPertua I, 5PMCNS
- Hj Ishak bin Itam, Juruaudit, 5PMCNS

Semoga segala urusan dipermudahkan dan majlis ini berjalan lancar dengan sokongan penuh daripada YB Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah hadir dan memberi sokongan dalam memastikan kejayaan perjumpaan ini.

Tuesday, February 4, 2025

Bengkel Takwim Tahunan 5PMCNS dan Penyelarasan eROSES











Pada 4/02/2025 (Selasa), dari jam 9:30 pagi hingga 12:30 tengah hari, telah diadakan Bengkel Takwim Tahunan 5PMCNS 2025 dan Penyelarasan eROSES 2024, di Pejabat Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia di Jabatan Pendidikan Selangor, Seksyen 4, Shah Alam.

A. Bengkel Penyediaan Takwim Tahun 2025

Membincangkan takwim setahun bagi persatuan adalah penting untuk merancang dan mengatur aktiviti sepanjang tahun. Kepentingan membincangkan takwim setahun termasuk:

1. Perancangan yang Teratur dan Sistematik: Merancang aktiviti dengan lebih teratur.

2. Memastikan Aktiviti Terkoordinasi: Mengelakkan pertindihan dan kekeliruan.

3. Membantu dalam Pengurusan Sumber: Menguruskan sumber dengan lebih berkesan.

4. Meningkatkan Penyertaan Ahli: Ahli boleh merancang masa mereka dengan lebih baik.

5. Mengelakkan Kekeliruan dan Konflik Jadual: Menghindari pertindihan tarikh, terutama dengan Daerah Cawangan.

6. Menjamin Kepelbagaian Aktiviti: Menawarkan aktiviti yang pelbagai dan menarik.

7. Memudahkan Penyelarasan dengan Pihak Luar: Memudahkan kerjasama dengan pihak luar.

8. Pemantauan dan Penilaian Aktiviti: Memantau dan menilai keberkesanan aktiviti.

9. Meningkatkan Hubungan Antara Ahli: Meningkatkan kerjasama dan semangat kekitaan.

10. Meningkatkan Kredibiliti Persatuan: Memperkuat reputasi dan kepercayaan ahli serta masyarakat umum.

Kesimpulan: Membincangkan takwim setahun adalah penting untuk memastikan kelancaran dan keteraturan operasi persatuan. Ini membantu dalam perancangan aktiviti, pengurusan sumber, dan penyertaan ahli, serta memperkukuh hubungan antara ahli, meningkatkan keberkesanan aktiviti, dan meningkatkan kredibiliti persatuan.

---

B. Bengkel Penyelarasan eROSES Persatuan Sepanjang Tahun 2024

Pelaporan kegiatan dan kewangan di Portal eROSES adalah penting untuk setiap persatuan. Kepentingan pelaporan ini termasuk:

1. Ketelusan dan Akauntabiliti: Menjamin ketelusan dalam pengurusan kewangan.

2. Memenuhi Keperluan Perundangan dan Undang-Undang: Mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

3. Memudahkan Penyemakan dan Pengawasan: Memudahkan pihak berkuasa memeriksa dan mengesahkan aktiviti.

4. Memperkukuhkan Integriti Persatuan: Meningkatkan kepercayaan ahli dan pihak luar.

5. Membantu dalam Pengurusan Dana: Merancang aktiviti dan perbelanjaan dengan lebih cekap.

6. Menjaga Reputasi dan Kepercayaan Ahli: Meningkatkan keyakinan ahli terhadap pengurusan.

7. Membolehkan Penilaian dan Peningkatan Aktiviti: Menilai keberkesanan aktiviti dan merancang yang lebih baik.

8. Memudahkan Penjanaan Laporan dan Dokumen Rasmi: Memudahkan penjanaan dokumen penting.

Kesimpulan: Melaporkan kegiatan dan kewangan persatuan atau kelab di Portal eROSES bukan sahaja mematuhi undang-undang dan peraturan, tetapi juga membantu dalam perancangan aktiviti, memastikan ketelusan kewangan, dan menjaga integriti persatuan. Ia adalah alat penting untuk keberkesanan pengurusan dan memelihara hubungan baik antara pihak pengurusan dan ahli persatuan.

Sambutan Maal Hijrah 5PM Selangor

Sambutan Maal Hijrah 5PM Selangor telah diadakan pada 5 Julai 2025 (Sabtu), bertempat di Surau Nadhatul Islamiah, Seksyen 3, Shah Alam mulai...