Pada 20 November 2024, jam 5:00 petang, YBhg Dato' Hj Abdul Raof bin Hussin, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), bersama delegasi kepimpinan tertinggi PPPPPM Cawangan Negeri Selangor yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Hj Muhammed Azhar bin Hj Alias, telah melakukan kunjung hormat ke atas YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari bertempat di kediaman rasmi Dato' Menteri Besar Selangor, Bukit Megawati, Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam perjumpaan yang singkat namun penuh kemesraan ini, Persatuan telah menyatakan hasrat untuk menjemput YAB Dato' Menteri Besar Selangor sebagai Tetamu Kehormat dan Perasmi Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-16 PPPPPM. Selain daripada itu, perbincangan turut menyentuh pelbagai isu semasa yang berkaitan dengan pendidikan dan kesejahteraan pesara.
Pada perjumpaan tersebut, delegasi rombongan turut berkesempatan bertukar-tukar fikiran dan menyampaikan cenderahati dan Buletin Pertama Pesara Pendidikan PPPPPM Cawangan Negeri Selangor. YAB Dato' Menteri Besar dalam maklumbalasnya telah menyatakan persetujuan untuk menyumbang kepada Mesyuarat Agung tersebut dan berjanji akan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif-inisiatif yang dibawa oleh PPPPPM.
Di samping itu, YAB Dato' Menteri Besar juga memberi cadangan agar program-program kolaborasi antara kerajaan negeri dan PPPPPM diperhebatkan demi meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pesara pegawai perkhidmatan pendidikan di negeri Selangor.


















